Tuesday, February 21, 2012

Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang menyempurnakan penyusuan itu” Al-baqarah: 233
Aku agak tertarik dengan kisah penyusuan anak angkat ni, sebab ada juga beberapa orang yang aku kenal samada berniat untuk mengambil anak angkat, dah ambil dan berniat nak menyusukan dan juga tak kurang yang contemplating untuk ambil anak angkat disebabkan hukum hakam yang mungkin tak jelas bagi sesetengah pihak.

Ibu yang mengandungkan kemudian melahirkan, of course lah soal penyusuan tu tak jadi masalah, cuma yang perlu kita tahu mungkin dari hak untuk mendapatkan kebenaran suami sebelum menyusukan anak orang lain.  Dan kita juga mungkin sedia maklum dari segi hukumnya kalau kita ambil anak angkat, bagaimana aurat kita suami isteri dengan anak tersebut.  Tapi yang aku ada sikit musykil kat sini tentang trend ibu- ibu tidak berkahwin yang menyusukan anak.  Bagaimana hukumnya?

Hari tu ada dengar ceramah, seorang ustaz ni berkata yang kalau hendak menyusukan anak, kena la dari wanita- wanita berkahwin.  Wanita mesti berkahwin baru boleh keluarkan susu.  Jadi saya interpret kat sini melalui ceramah tersebut bahawa wanita- wanita bujang, kalau adopt TIDAK BOLEH menyusukan anak dari payudara beliau dengan menggunakan bantuan perubatan,  betul? 

Anyway kita ni bukan alim ulama' nak bercerita panjang lebar tentang hukum hakam agama ni, namun saya agak tertarik juga dengan link yang di share seorang sahabat di twitter tentang fatwa penyusuan anak angkat ni.  Kalau dah fatwa, buat apa nak disangkal lagi ye tak?  Dah datang dari yang arif- arif.  Cuma yang aku nak mintak sekarang ni, sedikit komen dari kawan- kawan.  Apa pendapat korang?

Berikut adalah fatwa yang nak saya share kat sini, source: Portal Rasmi Fatwa Malaysia

Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
 
Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’ yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.
 
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
 
Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:

a. bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
b. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
c. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
 
Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.
 
Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.

1 comment:

Timmy said...

Confusing right? pening.. fatwa kata OK... tapi some Ulama kata tak OK.